KPM perkukuh mekanisme sedia ada, pastikan sekolah kekal selamat

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kementerian Pendidikan (KPM) komited memperkasa mekanisme sedia ada bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat susulan insiden membabitkan pelajar sejak kebelakangan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhan Surat Pekeliling Ikhtisas untuk pelaporan dan tindakan berdasarkan SOP 137 berkaitan disiplin murid.
  • Melaksanakan program Pembangunan Karakter Generasi Madani bagi pembinaan sahsiah murid secara holistik.
  • Mempergiatkan program Pembimbing Rakan Sebaya dan Saringan Minda Sihat untuk memastikan persekitaran sekolah selamat.
  • Jawatankuasa Khas melibatkan pakar, agensi kerajaan dan NGO memberi pandangan berkenaan reformasi keselamatan institusi pendidikan.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, langkah yang telah dilaksanakan bukan sekadar tindakan reaktif, sebaliknya satu usaha berterusan bagi mencapai matlamat yang disasarkan.

“KPM mengambil maklum berkenaan dengan isu-isu yang berlaku kebelakangan ini, dan kami telah memperkuatkan mekanisme-mekanisme yang sedia ada.

“Pertama, berkenaan dengan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) untuk laporan Prosedur Operasi Standard (SOP) 137 berkenaan dengan pelaporan dan juga tindakan menangani isu disiplin murid.

“Kedua, usaha ini diperkukuhkan lagi dengan usaha-usaha seperti program Pembangunan Karakter Generasi Madani bagi membina karakter murid secara holistik untuk mengimbangkan dimensi intelektual sahsiah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Wong, program Pembimbing Rakan Sebaya dan Saringan Minda Sihat turut dipergiatkan sebagai usaha memastikan persekitaran selamat di sekolah dapat diwujudkan secara berpanjangan.

Kata beliau, Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang bukan sahaja melibatkan warga KPM, malah gabungan pakar akademik, agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan bekerjasama memberi pandangan berkaitan institusi pendidikan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.