SERDANG, 9 Mei – Masyarakat perlu menghargai alam sekitar demi kesejahteraan perubahan iklim negara ketika negara sedang mengalami keadaan panas melampau di beberapa negeri.
Pakar Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zelina Zaiton Ibrahim berkata pendidikan awal mengenai kepentingan menjaga alam sekitar memainkan perananan penting dalam mengubah pemikiran masyarakat.
“Pengalaman saya ketika mengadakan lawatan kerja di Australia saya dapati di peringkat sekolah mereka telah mengubah kurikulum pengajaran dengan memberi penekanan kepada pengajian biologi (kaji hayat).
“Ini secara langsung telah memberi kesedaran serta minat awal kepada kanak-kanak untuk menghargai persekitaran semula jadi dan contoh ini boleh diadaptasi dan disesuaikan mengikut acuan kita,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Dr. Zelina, faktor pembangunan yang berlaku di bandar terutamanya turut memainkan peranan dalam memastikan pengekalan kawasan hijau yang boleh dinikmati oleh orang awam.
“Tidak dinafikan pembangunan adalah keperluan negara namun mungkin perlu diipertimbangkan dengan pemilihan model pembangunan yang bersesuaian sejajar dengan budaya serta memerhatikan kesinambungan manusia dan alamnya,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Zelina turut berkongsi pandangan mengenai insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail yang berlaku baru-baru ini.
Katanya, kejadian tersebut perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berwajib memandangkan perubahan iklim semasa yang ekstrem telah menyebabkan kejadian hujan ribut yang luar biasa.
“Kejadian hujan ribut ini adalah satu trend yang dijangkakan akan berlaku dalam satu jangka masa yang lama dan perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan. Pengurusan risiko adalah amat penting disesuaikan dengan keadaan semasa,” katanya.