SEREMBAN, 24 Januari - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru umat Islam di negeri itu supaya menghayati makna disebalik peristiwa Israk dan Mikraj.
Jelasnya, dengan menghayati peristiwa Israk dan Mikraj ia diharap dapat menjadikan akhlak masyarakat lebih murni dalam melakukan kebaikan serta meninggalkan kemungkaran.
"Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan salah satu peristiwa agung dalam sejarah Islam. Melalui Israk dan Mikraj, umat Islam dianugerahkan satu rahmat yang amat besar, iaitu pensyariatan solat fardu lima waktu menurut pandangan Badiuzzaman Said Nursi, manusia merupakan rumusan kepada seluruh alam semesta, manakala solat adalah rumusan dan intipati kepada keseluruhan ibadah. Pemikiran ini memberikan dimensi yang mendalam terhadap hubungan manusia, alam dan ibadah," kata Aminuddin.
Beliau berucap pada majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri, di sini.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Anugerah Pelan Peningkatan Jemaah Masjid Negeri Sembilan bagi tahun 2024 kepada 21 buah masjid dari semua tujuh daerah.
Penyampaian tersebut adalah kesinambungan daripada pelaksanaan Pelan Peningkatan Jemaah Masjid 2023-2024.
Bagi tahun 2024 peratusan peningkatan jemaah ke masjid seluruh Negeri Sembilan melonjak hingga 48 peratus disusuli dengan keberhasilan program-program pengimarahan yang dilaksanakan.