fb fb fb fb fb

Masjid di seluruh Perlis akan laksana solat jenazah ghaib untuk Ismail Haniyeh

Foto Hiasan

KANGAR, 31 Julai- Masjid di seluruh negeri Perlis akan melaksanakan solat jenazah secara ghaib pada Jumaat ini untuk Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim Israel.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan malam ini memaklumkan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga Yang Dipertua MAIPs, bertitah solat jenazah itu akan diadakan selepas Solat Jumaat.

“Adalah dihebahkan bahawa Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah mengampuni limpah perkenan agar dilaksanakan Solat Jenazah Ghaib ke atas Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh di masjid-masjid seluruh negeri Perlis.

“Sesungguhnya, pemergian Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh merupakan satu kehilangan besar buat rakyat Palestin dan umat Islam serta didoakan jua Allahyarham ditempatkan di sisi mereka yang beriman dan para solihin,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, umat Islam di Perlis digalakkan menyertai solat jenazah berkenaan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI