fb fb fb fb fb

Markas Briged Ke-31 Infantri mula berpindah ke Samalaju Bintulu penghujung tahun ini

Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi

KUCHING, 18 Mei- Markas Briged Ke-31 Infantri akan dipindahkan ke Samalaju Bintulu dijangka mulai penghujung tahun ini.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi memaklumkan, ia untuk memperkasa keselamatan di kawasan utara negeri Sarawak.

"Supaya markas dan juga Panglima 31 Briged dapat fokus kepada keselamatan utara Sarawak merangkumi Limbang, Miri, Bintulu dan 9 Briged sedia ada akan fokus kepada kawasan tengah negeri iaitu di kawasan Bintulu sampai Sibu, Sri Aman. Manakala kawasan 3 Briged di kawasan Kuching sampai ke Lundu,"katanya.

Perpindahan markas itu akan disusuli dengan susun atur semula melibatkan penempatan pasukan Rejiman Sempadan di semua bahagian.

Walaubagimanapun, langkah tersebut katanya akan dilakukan secara berperingkat termasuk penambahan kelengkapan dan aset ketenteraan.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas Upacara Perbarisan sempena Sambutan Ke-10 tahun Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Padang Kawad Kem Muara Tuang Kota Samarahan hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Mohd Sofi menambah bagi menangani jenayah siber yang kini menjadi ancaman selari dengan perkembangan teknologi beliau mahu pegawai dan anggota diperkasa dengan ilmu keselamatan siber.

Ini penting sebagai persediaan untuk menghadapi ancaman siber pada masa akan datang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE