GEORGE TOWN, 15 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memperluas pemasangan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di perairan negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem tersebut bakal digunakan di kawasan stretegik yang dikenal pasti sebagai ‘titik panas’ jenayah maritim, antaranya di Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung.
Langkah itu adalah sebagai salah satu usaha dalam meningkatkan kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan di perairan negara.
"Maritim Malaysia dalam perancangan untuk kita luaskan lagi pemasangan teknologi pemantauan yang dilengkapi dengan radar berteknologi tinggi serta perakam video definisi tinggi.
"Maritim Malaysia juga mesti jalan serentak seiring dengan melengkapkan teknologi terkini dan ini termasuk sistem pengawasan laut SWASLA yang akan diperluaskan ke kawasan kawasan tumpuan bagi meningkatkan ketepatan dan keberkesanan pemantauan perairan negara secara 'real time'," kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, Jelutong.
Turut hadir pada majlis itu ialahTimbalan Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Sambutan berlangsung selama tiga hari bermula semalam dimeriahkan dengan Fleet Review yang menampilkan aset Maritim Malaysia.
Pameran agensi keselamatan, aktiviti interaktif serta jualan produk industri kecil dan sederhana, antara aktiviti yang disediakan untuk pengunjung.
Dalam pada itu, susulan insiden tembakan membabitkan Maritim Malaysia dengan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Selangor pada 24 Januari lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal kaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) penggunaan senjata api.
Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Bukit Aman sedang melakukan siasatan dan pada masa sama siasatan dalaman Maritim Malaysia turut dijalankan.
"Insiden pukul 3.00 pagi itu yang berlaku episod kejar mengejar itu adalah usaha Maritim Malaysia menggagalkan penyeludupan migran, tetapi daripada sudut prosedur lain misalnya ada yang cedera ada yang mati, yang itu dilakukan dua peringkat siasatan.
"Yang pertama sedang berlangsung, siasatan dalaman sedang berlangsung, siasatan polis kalau sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang dalam menjalankan tugas, apmm telah jalankan tugas terdedah kepada ancaman nyawa," katanya.
Insiden yang berlaku pada 24 Januari lepas telah mengakibatkan seorang warganegara Indonesi maut manakala empat lagi cedera dalam insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Kuala Langat.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.00 pagi ketika sepasukan anggota Maritim Malaysia melakukan rondaan dan bertembung dengan sebuah bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) keluar dari perairan negara.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, siasatan mendapati, terdapat kesan atau unsur bot dinaiki anggota Maritim Malaysia dilanggar dan siasatan ke atas bot PATI pula menemukan dua bilah parang.