fb fb fb fb fb

MARDI-UPSI perkukuh kerjasama pembangunan lestari

Profesor Datuk Dr. Md Amin menyiram anak pokok yang ditanam sebagai simbolik penyempurnaan projek penanam anak pokok di UPSI Adventure Park, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI sambil disaksikan Datuk Dr. Mohamad Zabawi (tiga dari kiri) serta pengurusan tertinggi UPSI / Bahagian Komunikasi Korporat UPSI

TANJUNG MALIM, 13 Februari- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melaksanakan projek penanaman anak pokok buah-buahan di kampus universiti tersebut hari ini.

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Khidmat Bakti Masyarakat (CSR) bersempena Program Transformasi Minda (PTM) MARDI 2025.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar, malah turut memberi manfaat kepada pelajar, khususnya dalam bidang pertanian dan hortikultur.

"Kerjasama strategik ini memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar UPSI dengan memberi pendedahan praktikal mengenai teknik penanaman serta kepentingan pemeliharaan ekosistem hijau,"

Katanya, usaha itu turut dapat membantu universiti dalam memperkukuhkan elemen pembelajaran berasaskan pengalaman dan amalan hijau di kampus.

“Dengan adanya penanaman pokok ini, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, nyaman dan lestari untuk komuniti universiti", tambahnya.

Beliau berharap agar inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan, termasuk dengan penambahan jenis tanaman yang lebih pelbagai dan program pemantauan berterusan.

“Kerjasama dengan agensi penyelidikan seperti MARDI amat penting dalam memastikan program ini berjalan dengan lebih berkesan," jelasnya.

Sebanyak 35 anak pokok buah-buahan pelbagai jenis disumbangkan oleh MARDI untuk ditanam di sekitar kawasan kampus, dalam usaha mempertingkatkan kehijauan persekitaran serta menyokong inisiatif pembangunan lestari.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata MARDI bakal merangka satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama UPSI pada masa hadapan dalam usaha mengukuhkan penyelidikan hasil tanah dan tanaman khususnya di daerah Muallim.

"Melalui kolaborasi ini, kita dapat memanfaatkan kepakaran kedua-dua institusi dalam membangunkan penyelidikan yang berimpak tinggi untuk sektor pertanian negara.

Beliau turut mengumumkan bahawa pihak MARDI akan menyumbangkan lebih banyak benih dan anak pokok buah-buahan tempatan, khususnya durian untuk ditanam di kawasan kampus UPSI.

"Kami mahu memastikan kelangsungan penyelidikan serta amalan pertanian yang lebih mampan di UPSI dan dengan adanya tanaman seperti durian dan buah-buahan tempatan lain.

"Ia akan memberi nilai tambah kepada kampus serta menjadi sebahagian daripada ekosistem penyelidikan pertanian yang lebih meluas", tambahnya.

Program PTM yang diadakan di UPSI selama tujuh hari itu menyaksikan seramai 110 pegawai pelbagai jawatan diberi peluang bukan sahaja memahami asas perkhidmatan awam tetapi turut terbabit secara langsung dalam aktiviti komuniti yang memberi impak positif kepada kampus dan masyarakat setempat.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar; Pengerusi Puspanita MARDI, Datin Nur Jannah Hassan; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan & Operasi), Dr Sanimah Simoh; Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur, Dr. Zulhazmi Sayuti; serta Pengarah, Pusat Kokurikulum UPSI, Prof Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD