fb fb fb fb fb

Malindo Madani jalinan intelektual Malaysia-Indonesia

Foto FB Dato' Setia Dr. Naim

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Majlis Cendekiawan MADANI atau Malindo Madani 2025 membuka lembaran baharu hubungan intelektual antara Malaysia dan Indonesia.

Majlis yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar itu menghimpunkan sarjana, ulama dan pemikir Islam dari kedua-dua negara.

Datuk Dr. Mohd Na’im berkata majlis ini menjadi jambatan emas yang menyatukan hati, minda dan tenaga agar Malaysia dan Indonesia muncul sebagai tiang seri peradaban Islam di Asia Tenggara.

“Kita adalah dua bangsa serumpun, dua sayap yang jika terbang bersama akan mengangkat umat ini tinggi di langit peradaban," katanya.

Beliau turut mengangkat peranan tokoh terdahulu seperti Sheikh Daud al-Fatoni, Buya HAMKA dan KH Ahmad Dahlan yang membina kekuatan ilmu serta meniup semangat kebangsaan umat.

Katanya, konsep Malaysia MADANI adalah kesinambungan cita-cita besar ulama Islam yang menekankan keadilan sosial, perpaduan serta pembinaan masyarakat berilmu dan berakhlak.

Menerusi platform ini, Malaysia dan Indonesia dijangka dapat memperkukuh budaya ilmu serta menyalakan kembali obor kegemilangan tamadun Nusantara.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN