KUALA LUMPUR, 4 Januari- Malaysia menggesa dalang keganasan insiden bom di Wilayah Kerman, dekat Iran diheret ke muka pengadilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, Malaysia mengutus takziah kepada negara sahabat Republik Islam Iran dan turut berdukacita serta bersolidariti kepada warganya.
"Amat menyedihkan tatkala beberapa bom dilaporkan meledak di Wilayah Kerman berdekatan Iran semalam.
"Ia telah merenggut hampir seratus nyawa yang tidak berdosa dan telah mencederakan lebih dua ratus yang lain.
"Malaysia membantah dan mengecam serta mengutuk tegas sebarang bentuk keganasan ke atas mereka yang tidak berdosa.
Tambah Perdana Menteri, sudah hampir tiga bulan dunia menyaksikan pembantaian Israel ke atas mereka yang tidak berdosa di Palestin dan yang terbaru di Lubnan dua hari yang lalu.
"Di tahun baharu ini, Malaysia ingin mengajak dunia untuk ikut membantah budaya ganas dan rakus dan selamatkan kemanusiaan sejagat,"katanya.
Sekurang-kurangnya 103 orang terbunuh dan lebih 211 lagi cedera dalam dua kejadian letupan berhampiran kubur komander tentera yang dibunuh, Qasem Soleimanidi bandar Kerman, Iran, semalam.
Letupan tersebut berlaku pada hari ulang tahun keempat kematian Qasem dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS).
Agensi berita Tasnim melaporkan, "dua beg membawa bom meledak dan pengganas meletupkan bom itu dengan alat kawalan jauh".
Letupan pertama berlaku pada pukul 3.00 petang waktu tempatan disusuli letupan kedua 20 minit kemudian.