KOTA BHARU, 21 Jun - Malaysia kini sedang meneroka pasaran baharu yang berpotensi dan bebas konflik bagi mengeksport komoditi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peperangan Iran-Israel sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekport komoditi negara yang berada di kawasan sekitar konflik.
Beliau berkata, peperangan yang berlaku menyebabkan kapal perdagangan gagal memasuki atau menghampiri kawasan konflik, sekali gus menjejaskan eksport komoditi negara.
Untuk itu katanya, Malaysia perlu mengambil langkah meneroka negara baru yang bebas perang selain meningkatkan jumlah eksport komoditi dengan negara sedia ada.
Malaysia ketika ini berdagang dengan hampir 80 negara dengan nilai eksport RM186 bilion setahun.
"Langkahnya ialah kita membuka mana-mana negara baru yang belum pernah pakai punya produk kita. Kita terokai dengan pasaran baharu, kerana kita tidak boleh begantung kepada satu pasaran sahaja.
" Kita perlu pastikan negara-negara yang tiada peperangan. Kita tambah supaya mereka banyak membeli daripada kita. Itu cara bagaimana kita menjaga prospek baharu, kita mahu pastikan mereka menjadi pelanggan tetap kepada produk-produk yang kita keluarkan," katanya.
Datuk Seri Johari bercakap kepada pemberita selepas Majlis Dialog KPK bersama Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), di sini.
Katanya, produk komoditi perlu dieksport bagi memastikan harga komoditi dalam negara tidak jatuh sekiranya permintaan pasaran berkurangan.
Disebabkan itu jelasnya, Malaysia tidak suka kepada peperangan kerana ia akan memberi masalah kepada perdagangan negara selain mengurangkan keuntungan eksport komoditi.