ABU DHABI, 27 Februari- Malaysia telah berjaya menyerahkan Instrumen Penerimaan (Instrument of Acceptance) bagi Perjanjian Subsidi Perikanan (FSA) kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Dr Ngozi Okonjo-Iweala.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi facebooknya berkata, sehingga kini 69 negara anggota WTO termasuk Malaysia telah meratifikasi FSA yang dimuktamadkan pada Jun 2022 di Geneva.
Perjanjian ini adalah penting sebagai satu usaha global dalam mendisiplinkan subsidi-subsidi tertentu demi memastikan kemampanan stok ikan dunia yang kian terancam dan semakin berkurangan.
"FSA menggariskan disiplin kepada subsidi aktiviti perikanan bagi menggalakkan amalan penangkapan ikan yang mampan. Ia merupakan langkah ke arah menghapuskan penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (IUU) serta menggalakkan aktiviti penangkapan ikan yang lestari dan memelihara keseimbangan ekosistem marin.
"Selain itu, FSA memastikan bahawa sebarang subsidi yang diberikan oleh negara anggota adalah telus dan bertanggungjawab serta membolehkan pemantauan pematuhan yang berkesan.
"Perjanjian itu juga mengiktiraf perbezaan negara membangun dan kurang membangun serta menyediakan bantuan teknikal dan program pembinaan kapasiti untuk membantu negara-negara yang memerlukan bagi mengukuhkan sistem pengurusan aktiviti perikanan mereka", katanya menerusi facebook.
Dengan meratifikasi FSA, Malaysia menunjukkan komitmen terhadap kerjasama global.
Malaysia turut menyeru semua ahli WTO untuk meningkatkan kerjasama ke arah mewujudkan sistem perdagangan pelbagai hala yang telus dan adil, khususnya dalam memacu WTO menghadapi cabaran global dan ketidaktentuan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup.