fb fb fb fb fb

Malaysia raih potensi perdagangan RM8 bilion

Datuk Seri Anwar Ibrahim

NEW DELHI, 21 Ogos- Malaysia meraih potensi perdagangan berjumlah RM8 bilion dalam sektor minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk kimia, minyak dan gas serta alat ganti kapal terbang dalam lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India.

Selain itu Malaysia juga berjaya mendapatkan komitmen pelaburan bernilai RM4.5 bilion daripada pelbagai sektor serta syarikat di negara ini.

"Keputusan dan komitmen untuk melabur RM8 bilion produk berasaskan minyak sawit, bahan kimia, produk kimia, alat ganti kapal terbang.

"Tetapi RM4.5 bilion itu dalam beberapa bidang lain," katanya dalam sidang media sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Tambah Anwar, sehingga Mac 2024, pelaburan dari India melibatkan 168 projek dengan nilai RM4.5 bilion serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 16,640 orang.

Pada masa sama, tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan dengan perniagaan (B2B) selain lapan MoU antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) dimeterai sewaktu lawatan rasmi bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, kerana mengundang saya untuk lawatan rasmi ke India yang sangat memuaskan," katanya kepada media Malaysia selepas berakhirnya lawatan tersebut.

Sebelum itu, Anwar juga mengadakan pertemuan dengan syarikat gergasi India iaitu Tata Group, Emami Agrotec Limited, HCL Tech termasuk sidang meja bulat bersama-sama 31 syarikat negara itu.

TCS, syarikat perkhidmatan teknologi maklumat (IT), perundingan dan penyelesaian perniagaan diwakili presidennya (bahagian perniagaan dan akaun strategik, pasaran pertumbuhan) Ujjwal Mathur.

Emami Agrotech Ltd, yang merupakan pemain utama dalam sektor minyak boleh dimakan dan produk makanan India diketuai pengarah eksekutifnya Manush Goenka manakala HCL Technologies, syarikat perkhidmatan IT dan perundingan terkemuka dunia diwakili pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif globalnya C. Vijaykumar.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Digital Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa.

Dalam pada itu berkenaan kemungkinan kerajaan memberikan kemudahan pelanjutan tempoh pemberian visa percuma kepada rakyat India, Perdana Menteri memaklumkan ianya berlaku jika mendapat tindak balas sama daripada Kerajaan India.

Perkara itu berikutan jumlah pelancong India ke Malaysia kini mencecah hampir 800,000 orang dan kerajaan berharap angka tersebut meningkat kepada sejuta.

Ia sekali gus menjadikan negara paling ramai penduduk di dunia itu berada di belakang negara tembok besar China yang mendahului bilangan pelancong ke Malaysia.

"...kita bincangkan dan kalau ada sambutan yang baik daripada kerajaan India untuk memberikan kemudahan yang sama, maka kita setuju.

"Saya dapat lanjutkan kerana peningkatan yang tinggi selain China ialah India. Ia mencecah hampir 800,000 pelancong sekarang dan kita mengharapkan unjuran satu juta," katanya.

Sementara itu Modi secara spontan turut mengumumkan 100 biasiswa untuk pelajar Malaysia belajar di India dalam bidang keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), bawah inisiatif Indian Technical and Economic Cooperation Programme.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI