fb fb fb fb fb

Malaysia percepat usaha jadi negara AI

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berucap dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan BMCC di Petaling Jaya, Selangor / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 21 November - Malaysia mempercepat usaha menjadi negara AI menjelang 2030, dengan pelaburan besar dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pelaksanaan dasar-dasar digital yang lebih menyeluruh.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, komitmen kerajaan terhadap pembangunan AI jelas melalui peruntukan dalam Belanjawan 2026 dan penubuhan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).

“Malaysia sedang melabur secara besar-besaran dalam AI. Kerajaan MADANI sedar sepenuhnya akan potensi ekonomi yang ditawarkan oleh AI. Perkara ini turut dizahirkan dalam belanjawan tahunan kita, termasuk Belanjawan 2026 yang baru dibentangkan,” katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan BMCC keenam anjuran Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC).

Menurut Gobind, pelbagai program AI telah dilaksanakan melibatkan masyarakat umum serta komuniti perniagaan bagi memperkukuh ekosistem digital negara.

“Ini merupakan langkah untuk mempercepatkan transformasi Malaysia menjadi sebuah negara digital, dan seterusnya mencapai status Negara AI menjelang 2030,” tambahnya.

Beliau mengajak syarikat-syarikat antarabangsa untuk melihat Malaysia sebagai pusat strategik bagi perkembangan teknologi digital di rantau ASEAN.

Jelasnya, Malaysia berada pada kedudukan strategik di tengah-tengah ASEAN, sebuah pangkalan digital yang maju, stabil dan kaya kepelbagaian budaya.

“Ekonomi digital negara ini berada di landasan untuk menyumbang 25.5% kepada KDNK menjelang akhir tahun ini. Kejayaan ini didukung oleh ekosistem yang dinamik melibatkan peneraju tempatan dan antarabangsa,” ujarnya lagi.

EMMI NORALIZA ADNAN