
KUALA LUMPUR, 17 November – Perancis menyatakan komitmen untuk memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam sektor pertahanan, termasuk potensi perolehan helikopter, kapal selam, pesawat pejuang dan sistem radar.
- Peralihan tenaga dikenal pasti sebagai bidang kerjasama utama untuk menyokong usaha Malaysia mencapai penyahkarbonan sektor tenaga.
- Keselarasan strategi dan pendirian bersama menyokong pengukuhan hubungan dua hala serta meningkatkan tahap kepada perkongsian strategik.
- Prinsip saling menghormati dan pengukuhan kemandirian negara menjadi landasan bagi membuka peluang baharu dalam pelbagai sektor.
- Forum perniagaan menghimpunkan pemimpin, kerajaan dan pemain ekonomi bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan dan meneroka kerjasama dalam kedaulatan digital serta aeroangkasa.
Peralihan tenaga turut dikenal pasti sebagai bidang kerjasama utama, khususnya dalam menyokong usaha Malaysia mencapai matlamat penyahkarbonan sektor tenaga.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, beberapa perjanjian telah dimeterai pagi tadi, termasuk berkaitan kerjasama dalam bidang helikopter.
“Keselarasan strategi dan persamaan pendirian dalam pelbagai isu menjadi asas penting kepada pengukuhan hubungan dua hala, sekali gus mendorong kedua-dua negara meningkatkan hubungan kepada perkongsian strategik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Perancis-Malaysia 2026 di sebuah hotel di ibu negara.
Menurutnya, prinsip saling menghormati serta usaha memperkukuh kemandirian negara turut menjadi landasan penting bagi memastikan kerjasama itu terus berkembang dan membuka peluang baharu dalam pelbagai sektor.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tahun depan menandakan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Perancis.
“Peningkatan hubungan kepada perkongsian strategik mencerminkan kematangan kerjasama kedua-dua negara, selain membuka ruang meneroka bidang baharu yang penting kepada pembangunan ekonomi, keselamatan dan daya saing industri,” ujar beliau.
Forum sehari itu menghimpunkan pemimpin perniagaan, wakil kerajaan serta pemain utama sektor ekonomi dari kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan serta meneroka peluang kerjasama strategik.
Antara bidang yang diberi tumpuan termasuk kedaulatan digital, peralihan tenaga dan industri aeroangkasa, selain usaha memperluas jaringan kerjasama antara komuniti perniagaan Malaysia dan Perancis.