
MANILA, 17 November – Malaysia mengiktiraf kepentingan penyimpanan stok petroleum dalam memperkukuh daya tahan tenaga serantau.
- Pengaturan penyimpanan stok petroleum mesti dilaksanakan secara sukarela dan berasaskan pertimbangan komersial, mengambil kira keadaan dan kesiapsiagaan domestik.
- Kenyataan disampaikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Perdana Menteri dalam Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia.
- Malaysia komited memastikan penyahkarbonan berjalan seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan keterjaminan bekalan tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, sebarang pengaturan berkaitan perlu dilaksanakan secara sukarela dan berasaskan pertimbangan komersial.
“Sebarang pengaturan sedemikian perlu dilaksanakan secara sukarela dan berasaskan pertimbangan komersial, dengan mengambil kira keadaan, keutamaan serta tahap kesiapsiagaan domestik setiap negara anggota,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Kenyataan Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC), di sini, yang disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memastikan usaha penyahkarbonan dilaksanakan seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan keterjaminan tenaga.