JOHOR BAHRU, 11 Ogos - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan pemasangan empat lagi stesen Sistem Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS), menjelang hujung tahun ini.
Menterinya Chang Lih Kang berkata, lokasi pelaksanaannya melibatkan Pulau Langkawi, Pulau Perhentian dan Pulau Tioman di Semenanjung, serta Bintulu di Sarawak.
"Peranti ini boleh mengawal radiasi atau tahap radiasi dalam air. Dan ini bukan sahaja dipasang di Malaysia, tetapi di seluruh ASEAN juga. Jadi kita akan dapat deteksi awal sekiranya mana-mana bahagian di rantau ini terdapat bacaan yang abnormal, kita boleh tahu sebab semua sistem kita terhubung", katanya.
Peranti tersebut mengesan dan memantau radiasi gamma dalam air, sekaligus meningkatkan keselamatan radiologi, melindungi kesihatan awam dan memperkukuh keyakinan terhadap kualiti air negara.
Pemasangan pertama GSWMS dilaksanakan di jeti Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Jun 2023.
Beliau ditemui pada sidang media sempena Mesyuarat Tahunan Ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) di Johor Bahru.