
DENGKIL, 26 Jun – Malaysia mencatat peningkatan ketara dalam kedudukan daya saing global apabila melonjak ke tangga ke-15 dunia pada tahun ini berbanding kedudukan ke-34 pada 2024.
- Pencapaian dicapai melalui kerjasama kementerian, jabatan kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat.
- Budaya penambahbaikan berterusan mesti diamalkan semua pihak untuk memastikan prestasi negara terus dipertingkatkan.
- Cabaran utama ialah ketidakseragaman prosedur PBT dan kelewatan kelulusan; kerajaan arah KPKT dan KSN menyelaraskan serta menanda aras PBT.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan peningkatan itu merupakan antara yang paling cemerlang berbanding negara lain, selepas Malaysia memperbaiki kedudukan ke tangga ke-23 pada 2025 sebelum terus melonjak ke tangga ke-15 tahun ini.
“Pencapaian tersebut adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan kerajaan, penjawat awam, sektor swasta serta rakyat,”kata Datuk Seri Anwar selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, di sini.
Perdana Menteri turut menyatakan budaya penambahbaikan berterusan perlu menjadi amalan semua pihak bagi memastikan prestasi negara terus dipertingkatkan.
Pada masa sama, beliau berkata antara cabaran yang masih menjejaskan daya saing negara ialah ketidakseragaman prosedur di pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya membabitkan proses kelulusan pembangunan yang mengambil masa terlalu lama.
Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar berkata masih terdapat ruang penambahbaikan khususnya melibatkan kecekapan PBT dalam memproses permohonan pembangunan.
“Kerajaan telah mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyelaraskan prosedur di semua PBT bagi memastikan sistem penyampaian lebih cekap dan mesra pelabur.
“PBT yang mencatat prestasi cemerlang akan dijadikan penanda aras, manakala kelemahan yang dikenal pasti akan ditangani menerusi langkah penambahbaikan bagi memperkukuh lagi daya saing negara,”katanya.