
SERDANG, 26 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan PUTRA2, sebuah kereta lumba Formula SAE yang dibangunkan oleh pelajar Fakulti Kejuruteraan menerusi Putra Motorsport Team (PMT).
- Pelancaran sebagai persediaan untuk mewakili Malaysia pada Student Formula Japan 2026 di Aichi, Jepun.
- UPM menegaskan komitmen pendidikan kejuruteraan berasaskan pengalaman untuk mengasah kemahiran dan bakat pelajar.
- Pasukan menyasarkan kelompok 30 terbaik daripada kira-kira 83 pasukan; acara menilai reka bentuk, dokumentasi dan pembentangan perniagaan.
Pelancaran itu sebagai persediaan pasukan berkenaan mewakili Malaysia pada pertandingan Student Formula Japan ke-24 2026 yang akan berlangsung di Aichi, Jepun, pada 2 hingga 7 Ogos depan.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, pelancaran PUTRA2 membuktikan komitmen universiti dalam memperkasa pendidikan kejuruteraan menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman yang membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu dalam projek sebenar.
“Ini merupakan kali keempat UPM terlibat dalam program ini. Sudah pasti teknologi serta keupayaan kenderaan yang dipertandingkan semakin bertambah baik dari semasa ke semasa.
“Apa yang lebih penting, program seperti ini wajar terus digalakkan dalam kalangan pelajar kerana ia menyediakan platform yang sukar diperoleh melalui aktiviti lain.
“Program ini mencerminkan sinergi yang kukuh antara semua pihak yang terlibat. Kita berharap penyertaan dalam program sebegini dapat mengasah bakat pelajar serta membantu mereka meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan.
“… sebagai persediaan untuk berbakti kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PUTRA2 di sini, hari ini.
Tambah beliau, projek seperti ini turut memberi peluang kepada pelajar meneroka inovasi, memimpin projek berskala besar serta membina kompetensi yang selari dengan keperluan industri pada masa hadapan.
Sementara itu, kapten pasukan, Aliman Zafran Yuslaimi, berkata pasukannya menyasarkan kedudukan dalam kelompok 30 terbaik daripada kira-kira 83 pasukan yang dijangka bertanding.
Katanya, Formula SAE bukan sekadar pertandingan menguji prestasi kenderaan di litar, malah turut menilai aspek reka bentuk, dokumentasi teknikal serta pembentangan pelan perniagaan.