fb fb fb fb fb

Malaysia komited perkukuh kerjasama pertahanan serantau bersama ASEAN

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 September - Malaysia menegaskan komitmen teguh dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serantau bersama negara-negara ASEAN demi menjamin keamanan dan kestabilan yang berterusan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, ketua-ketua pertahanan ASEAN disaran mengambil langkah tegas bagi meningkatkan kerjasama ketenteraan serantau, khususnya melalui peluasan latihan bersama dan pengukuhan rancangan operasi.

Beliau berkata, tumpuan turut diberikan kepada aspek rondaan maritim, usaha memerangi keganasan, pertahanan siber serta misi bantuan bencana.

"Angkatan tentera ASEAN perlu bersedia menghadapi cabaran keselamatan yang semakin berkembang dengan memperluaskan latihan ketenteraan bersama dan meningkatkan kebolehlaksanaan bersama.

"Sehubungan itu, latihan ketenteraan bersama dan peningkatan kebolehlaksanaan operasi antara negara anggota dikenal pasti sebagai langkah utama dalam memperkukuh kerjasama pertahanan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM) di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, ACDFM terus diiktiraf sebagai platform dalam memperkukuh persefahaman dan kerjasama antara angkatan tentera negara-negara anggota.

Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pertukaran pandangan strategik antara Panglima Angkatan Tentera ASEAN, dengan fokus terhadap pemerkasaan kerjasama serantau dalam bidang keselamatan, kemanusiaan dan diplomasi pertahanan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM