KUALA LUMPUR, 6 Disember - Malaysia akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam membantu mencari penyelesaian terbaik terhadap konflik antara Palestin dan Israel.
Ini termasuk menyuarakan pendiriaan melalui semua platform; samada di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata usaha berterusan itu juga diterjemahkan menerusi sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan yang dilaksanakan setiap ketua-ketua perwakilan negara.
Malah jelasnya, pendirian negara dalam isu tersebut tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain, sekali gus mempamerkan pendekatan prinsip negara dan hak menyatakan pendirian tanpa tekanan.
"Berkat usaha dan rundingan yang dijalankan Malaysia serta negara-negara dunia lain dipelbagai platform pertubuhan antarabangsa ini, Hamas dan Israel telah mencapai kesepakatan gencatan senjata dan kemanusiaan (humanitarian truce agreement) untuk menghentikan pertempuran selama tujuh hari dan pembebasan sekurang-kurangnya 100 orang tebusan oleh Hamas yang ditahan di Gaza dan 240 orang tahanan Palestin yang telah dibebaskan Israel bermula pada 24 November 2023 lalu," Mohamad Alamin menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Noraini Idris di Dewan Negara.
Tambahnya, ketua-ketua perwakilan negara dari awal sudahpun mengalas tugas dan amanah untuk mengetengahkan pendirian serta mempertahankan kepentingan negara ke peringkat antarabangsa.
Malaysia akan terus menggiatkan interaksi dengan semua negara, sebagai usaha mewujudkan kefahaman dankesedaran yang lebih menyeluruh terhadap isu Palestin-Israel.