Iran cadang buka semula Selat Hormuz

Foto REUTERS

ANKARA, 27 April – Iran mencadangkan pembukaan semula Selat Hormuz dan penamatan perang, sementara rundingan nuklear ditangguhkan ke peringkat seterusnya, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laman berita Axios.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan disampaikan kepada AS melalui pengantara termasuk Pakistan semasa diplomasi nuklear menemui kebuntuan.
  • Di bawah cadangan, gencatan senjata dilanjutkan atau dijadikan kekal; rundingan nuklear bermula selepas laluan maritim utama dibuka dan sekatan ditarik balik.
  • White House menerima cadangan namun belum memutuskan; Trump lebih cenderung mengekalkan sekatan tentera laut untuk menambah tekanan.

Menurut Axios, cadangan itu disampaikan kepada Amerika Syarikat (AS) melalui pengantara termasuk Pakistan, ketika usaha diplomatik berhubung program nuklear Iran menemui jalan buntu.

Sumber berkata cadangan itu bertujuan mengetepikan sementara pertikaian mengenai pengayaan uranium bagi membolehkan perjanjian lebih pantas dicapai, dengan tumpuan kepada penamatan sekatan dan pemulihan trafik maritim.

Di bawah cadangan itu, gencatan senjata akan dilanjutkan untuk tempoh panjang atau dijadikan kekal, manakala rundingan nuklear hanya akan bermula selepas selat berkenaan dibuka semula dan sekatan ditarik balik.

Seorang pegawai AS dan sumber yang mengetahui perbincangan itu berkata White House telah menerima cadangan berkenaan, namun belum memberi petunjuk sama ada akan meneruskannya.

Presiden Donald Trump dijangka mengadakan mesyuarat di Situation Room pada Isnin bersama pegawai kanan keselamatan negara bagi membincangkan kebuntuan itu dan langkah seterusnya.

Trump berkata beliau lebih cenderung mengekalkan sekatan tentera laut ke atas pelabuhan Iran bagi meningkatkan tekanan terhadap Tehran.

“Apabila anda mempunyai jumlah minyak yang besar… jika laluan ini ditutup… laluan itu akan meletup dari dalam,” katanya, sambil menambah Iran mungkin hanya mempunyai “kira-kira tiga hari” sebelum berdepan tekanan dalaman.

Usaha diplomatik dipergiat pada hujung minggu, dengan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mengadakan rundingan di Islamabad dan Muscat, Oman yang tertumpu kepada selat berkenaan.

Beliau tiba di Saint Petersburg, Rusia awal Isnin untuk mengadakan rundingan peringkat tinggi dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan pegawai kanan lain.

Iran dan AS mengadakan rundingan di Islamabad pada 11 hingga 12 April namun gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik antara kedua-dua negara.

Rundingan itu berlangsung selepas Pakistan menjadi pengantara gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April yang kemudian dilanjutkan oleh Trump.

Walaupun usaha mengadakan satu lagi pusingan rundingan sedang berjalan, beberapa isu utama yang dikatakan menjadi pertikaian ialah Selat Hormuz, sekatan AS terhadap pelabuhan Iran dan hak Iran untuk memperkaya uranium. – BERNAMA