fb fb fb fb fb

Malaysia komited bangun teknologi mampan infrastruktur bawah tanah negara

Pembangunan bandar di Malaysia kian pesat/RTM

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Malaysia komited memperluaskan penggunaan teknologi tanpa korekan (trenchless technology) sebagai sebahagian daripada strategi untuk membangun infrastruktur mampan dan berimpak rendah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kaedah ini terbukti berkesan dalam membolehkan pembinaan utiliti bawah tanah seperti sistem pembetungan, paip air dan rangkaian telekomunikasi dilaksanakan dengan lebih pantas dan selamat, terutamanya di kawasan bandar yang padat dengan penduduk.

"Kemajuan ini menuntut peluasan infrastruktur yang seiring untuk menyokong keperluan penduduk yang semakin meningkat. Namun begitu, dalam kita membina untuk masa hadapan, kita perlu sentiasa peka terhadap kesan pembangunan ini kepada alam sekitar serta gangguan yang mungkin timbul kepada masyarakat setempat, " katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa projek pembetungan yang penting di Lembah Klang.

Ia berjaya menyambungkan jutaan isi rumah kepada sistem rawatan kumbahan berpusat, sekali gus meningkatkan piawaian pelepasan dan membantu melindungi sungai-sungai untuk generasi akan datang.

“Aplikasi seperti kaedah pipe jacking membolehkan pembinaan saluran pembetungan di kawasan bandar dan sesak dengan gangguan minimum pada permukaan, memainkan peranan penting dalam perluasan dan pemodenan sistem pembetungan negara,” katanya semasa merasmikan Trenchless Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Tambahnya dengan meminimumkan kerja penggalian dan gangguan pada permukaan, kaedah tanpa korekan membantu memelihara alam sekitar, mengurangkan gangguan kepada komuniti dan mengelakkan kerosakan kepada infrastruktur sedia ada.

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan tanpa korekan bukan sekadar pilihan alternatif, tetapi harus dilihat sebagai teknologi teras untuk pembangunan mampan, sejajar dengan agenda jangka panjang kerajaan di bawah AIR 2040, iaitu pelan hala tuju strategik bagi mentransformasikan sektor perkhidmatan air negara.

Trenchless Asia ialah pameran dan persidangan antarabangsa mengenai teknologi tanpa korekan di rantau Asia, berlangsung selama dua bermula hari ini di KLCC.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN