White House mohon AS$87.6 bilion tambahan biaya perang Iran

Senator Patty Murray, Demokrat dari Washington yang juga ahli kanan Jawatankuasa Peruntukan Senat, menyifatkan Presiden Donald Trump telah melancarkan perang yang “melulu dan mahal” tanpa kelulusan Kongres atau rakyat./  AFP

WASHINGTON, 25 Jun – White House pada Rabu mengemukakan permohonan kepada Kongres bagi mendapatkan AS$87.6 bilion (kira-kira RM372 bilion) sebagai peruntukan tambahan untuk membiayai perang di Iran serta beberapa program lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rumah Putih memohon peruntukan tambahan kepada Kongres untuk membiayai perang di Iran dan beberapa program domestik lain.
  • Permohonan merangkumi AS$21 bilion untuk Pertahanan, AS$10 bilion bagi petani dan AS$1.4 bilion untuk menangani Ebola di Afrika.
  • Cadangan menimbulkan bantahan Demokrat; Senator Patty Murray mengecam perang sebagai melulu, mempertikaikan keperluan dana tambahan sementara wang Pentagon belum dibelanjakan.

Permohonan itu merangkumi AS$21 bilion untuk Jabatan Pertahanan bagi menyokong keupayaan ketenteraan, perolehan peluru serta memperkukuh asas perindustrian pertahanan Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, White House turut memohon AS$10 bilion bagi membantu petani, AS$1.4 bilion untuk menangani penularan Ebola di Afrika dan AS$768 juta kepada Jabatan Tenaga bagi memperkukuh keselamatan nuklear dan tenaga.

Pengarah Pejabat Pengurusan dan Belanjawan Rumah Putih, Russell Vought, dalam surat kepada Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson, menggesa Kongres meluluskan permohonan itu dengan segera.

“Saya menggesa Kongres mengambil tindakan terhadap permohonan penting dan mendesak ini secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, memaklumkan Pentagon mungkin memerlukan sehingga AS$200 bilion bagi membiayai perang yang bermula pada 28 Februari lalu.

Permohonan itu dijangka meletakkan beberapa ahli Republikan dalam kedudukan sukar menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS 2026, memandangkan mereka mungkin perlu mengundi untuk menyalurkan dana tambahan bagi perang yang tidak mendapat sokongan meluas rakyat.

Cadangan itu turut menerima bantahan segera daripada Demokrat.

Senator Patty Murray, Demokrat dari Washington yang juga ahli kanan Jawatankuasa Peruntukan Senat, menyifatkan Presiden Donald Trump telah melancarkan perang yang “melulu dan mahal” tanpa kelulusan Kongres atau sokongan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan keperluan dana tambahan itu ketika Pentagon masih mempunyai lebih AS$100 bilion dana yang belum dibelanjakan.

Selain pembiayaan perang, Rumah Putih turut memohon AS$500 juta bagi projek pemulihan dan pembinaan di Washington serta AS$1 bilion untuk kerja naik taraf Stesen Penn di New York.

Bagaimanapun, kelulusan peruntukan itu tertakluk kepada persetujuan Kongres.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.