
CARACAS, 25 Jun – Beberapa gempa bumi kuat melanda kawasan barat ibu negara Venezuela pada Rabu petang, mengakibatkan bangunan runtuh di Caracas, memerangkap penduduk di bawah timbunan runtuhan serta mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya korban jiwa yang tinggi dan kemusnahan meluas di negara Amerika Selatan itu.
- USGS lapor dua gempa bermagnitud 7.2 dan 7.5, dan ramalan awal korban mungkin antara 10,000 hingga 100,000 orang.
- Operasi menyelamat giat dijalankan selepas beberapa bangunan runtuh; mangsa cedera meningkat dan hospital terjejas, kakitangan menggandakan syif malam.
- Amaran tsunami dikeluarkan kemudian ditarik balik; pihak berkuasa membatalkan sekolah dan acara awam sementara penilaian kerosakan dijalankan.
Menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi bermagnitud 7.2 melanda kira-kira 160 kilometer di barat Caracas sebelum disusuli kurang seminit kemudian oleh satu lagi gegaran bermagnitud 7.5.
USGS memaklumkan kejadian itu berpotensi mengakibatkan korban jiwa yang tinggi dan kerosakan besar, dengan anggaran awal jumlah kematian berkemungkinan mencecah antara 10,000 hingga 100,000 orang.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Venezuela masih belum mengeluarkan angka rasmi mengenai jumlah mangsa yang terkorban atau cedera.
Pegawai tempatan dan saksi melaporkan beberapa bangunan runtuh, operasi menyelamat sedang giat dijalankan, selain jumlah mangsa yang cedera terus meningkat.
Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello, berkata beberapa bangunan kediaman dan rumah runtuh akibat gempa itu, manakala semua agensi keselamatan, bomba dan polis telah digerakkan bagi membantu operasi menyelamat.
Di Chacao, sebuah daerah di timur Caracas, Datuk Bandar Gustavo Duque memaklumkan dua bangunan runtuh, menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang cedera serta mengorbankan beberapa mangsa, namun tidak mendedahkan jumlah kematian.
“Kami akan melakukan segala yang termampu untuk menyelamatkan seramai mungkin mangsa,” katanya.
Gempa berlaku ketika kebanyakan rakyat Venezuela berada di rumah sempena cuti umum bagi memperingati kemenangan ketenteraan pada tahun 1821, yang menjadi titik penting kepada kemerdekaan negara itu daripada Sepanyol.
Di Hospital de Clinicas di Caracas, kakitangan diminta menggandakan syif malam bagi merawat mangsa yang cedera, walaupun bangunan hospital tersebut turut terjejas akibat gempa kuat tersebut.
Rakaman yang tular di media sosial turut menunjukkan kerosakan ketara di lapangan terbang utama Venezuela, selain laporan mengenai bangunan runtuh di bandar pesisir pantai La Guaira berhampiran Caracas.
Bagaimanapun, Reuters belum dapat mengesahkan kesahihan rakaman berkenaan.
Beberapa pihak berkuasa tempatan di Caracas turut membatalkan sesi persekolahan dan acara awam sehingga Isnin bagi membolehkan penilaian kerosakan dijalankan. Sementara itu, Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat pada mulanya mengeluarkan amaran ancaman tsunami membabitkan Puerto Rico serta Kepulauan Virgin Amerika Syarikat dan British.
Ombak berbahaya turut dijangka menjejaskan Aruba, Curacao dan Bonaire. Bagaimanapun, amaran itu ditarik balik kira-kira sejam kemudian.
Venezuela terletak di kawasan yang aktif secara seismik, iaitu di sempadan pertembungan Plat Caribbean dan Plat Amerika Selatan.