fb fb fb fb fb

Malaysia kekal tenang hadapi tarif tambahan AS - Johari

Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada sidang media selepas Dialog Industri MPOC Trade Networking Visit 2025 di Petaling Jaya.

PETALING JAYA, 8 Julai – Malaysia kekal tenang dan tidak goyah menghadapi tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif tambahan terhadap beberapa produk eksport negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun tarif baharu sebanyak 10% hingga 25% dikenakan, kesannya terhadap ekonomi negara dijangka minimum memandangkan hanya sebahagian kecil eksport Malaysia terlibat.

“Daripada jumlah keseluruhan eksport bernilai RM186 bilion, hanya sekitar RM20 bilion sahaja yang dihantar ke pasaran Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media selepas Dialog Industri MPOC Trade Networking Visit 2025 di Petaling Jaya.

Antara produk utama Malaysia ke pasaran AS ialah sarung tangan getah, perabot kayu, oleokimia berasaskan sawit serta koko dan produk coklat.

Mengulas mengenai pasaran sawit negara, Datuk Seri Johari menegaskan, produk tersebut tidak mempunyai alternatif setara di pasaran Amerika.

“Minyak soya, contohnya, tidak boleh menghasilkan oleokimia seperti minyak sawit. Jadi tidak wujud persaingan langsung. Jika AS kenakan tarif 25 peratus sekalipun, kos itu akhirnya ditanggung oleh pengguna mereka,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa sektor komoditi negara kekal kukuh dan bersedia berdepan cabaran global melalui strategi jangka panjang dan kepelbagaian pasaran.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN