Malaysia kecam tindakan Israel halang, ancam keselamatan UNIFIL

Foto AFP

PUTRAJAYA, 13 April – Malaysia mengecam sekerasnya tindakan Israel menghalang serta mengancam keselamatan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar menegaskan tindakan yang membahayakan keselamatan pasukan pengaman mesti dihentikan serta-merta.
  • Malaysia menggesa Majlis Keselamatan PBB ambil tindakan tegas dan memastikan perlindungan segera terhadap UNIFIL di selatan Lubnan.
  • Malaysia kekal komited terhadap misi UNIFIL; keselamatan anggota, termasuk MALBATT, menjadi keutamaan negara.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan menegaskan sebarang tindakan yang membahayakan keselamatan pasukan pengaman, selain mengganggu keberkesanan operasi mereka, adalah tidak boleh diterima dan mesti dihentikan serta-merta.

“Malaysia turut mengecam penggunaan kekerasan serta tindakan yang merosakkan aset dan menyekat akses ke kawasan operasi UNIFIL. Tindakan ini berisiko menjejaskan keupayaan UNIFIL melaksana mandatnya secara berkesan termasuk pemantauan di lapangan,” menurut kenyataan itu.

Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan tegas termasuk memastikan perlindungan segera terhadap pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan.

Sebagai negara penyumbang anggota kepada UNIFIL, Malaysia menegaskan komitmen teguh terhadap misi berkenaan serta mengiktiraf peranan penting operasi pengaman dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Kementerian turut menegaskan keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman termasuk anggota Batalion Malaysia (MALBATT) kekal sebagai keutamaan negara.