fb fb fb fb fb

Malaysia kecam serangan Israel di Gaza

Foto AFP

PUTRAJAYA, 8 Mei- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu Israel terhadap Gaza yang menyebabkan 19 orang terbunuh pada Isnin lalu.

Insiden berlaku beberapa jam selepas Hamas menerima cadangan gencatan senjata daripada rundingan damai yang dibuat Mesir dan Qatar.

Menurut Wisma Putra, ia jelas menunjukkan keengganan Israel untuk bekerjasama bagi tujuan keamanan.

Israel sepatutnya menerima kecaman keras daripada masyarakat antarabangsa.

"Rejim Israel bertekad untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

"Serangan berterusan ke atas orang awam oleh Pasukan Pendudukan Israel (Israeli Occupation Forces - IOF), khususnya di Rafah, Gaza, adalah amat zalim.

"Ini terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan mereka yang sedang berlindung di kem-kem yang sangat padat dan kini menjadi benteng perlindungan terakhir daripada pencerobohan Israel," menurut kenyataan Wisma Putra.

Masyarakat antarabangsa perlu menggandakan usaha untuk memastikan Israel menghentikan tindakan jenayah yang disengajakan itu.

Israel juga perlu dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM