fb fb fb fb fb

Malaysia-Kazakhstan meterai 4 MoU, mampu jana eksport RM1.6 bilion

Perdana Menteri menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Pelaburan Meja Bulat Kazakhstan-Malaysia di Astana/ BERNAMA

ASTANA, 17 Mei- Empat memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai menerusi perbincangan Mesyuarat Meja Bulat Kerjasama Ekonomi Kazakhstan-Malaysia.

Ia dijangka mampu menjana eksport sebanyak RM1.6 bilion, meningkat berbanding tahun 2023.
 
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim usaha yang digembleng kerajaan adalah bagi memperkukuh ekonomi negara yang kian berkembang.
 
"Lawatan kita ke tiga negara ini lebih untuk melihat, mencari upaya supaya dapat meningkatkan ekonomi Malaysia, umpanya daripada segi perlombongan, di sini ada kekuatan luar biasa dan mereka sedia beri ruang kepada Malaysia, sama daripada segi peralihan tenaga, manakala transformasi digital bergantung kepada kepakaran Malaysia", katanya dalam sidang media di sini.

MoU yang dimeterai melibatkan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Institut Kajian Strategik Kazakhstan (KazISS), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan Kebangsaan Kazakhstan (Atameken).

Turut memeterai MoU adalah Hyrax Oil Sdn Bhd dan Kumpulan Syarikat Alegeum Electric serta antara Berkat OSH Services Sdn Bhd dan APEC Training Center LLP.

Mesyuarat Meja Bulat Kerjasama Ekonomi Kazakhstan-Malaysia berjaya menghimpunkan 12 tokoh industri terkemuka Kazakstan, antaranya syarikat terlibat pembiayaan pelaburan, pelombongan, pelancongan dan industri halal.

ROSLINA BINTI DIN