Malaysia, Jepun meterai empat MoC perkukuh kerjasama strategik

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Sanae Takaichi di Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini / BERNAMA

TOKYO, 10 Jun– Malaysia dan Jepun memeterai empat Memorandum Kerjasama (MoC) dalam pelbagai bidang strategik sepanjang lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Anwar menekankan tumpuan memastikan semua inisiatif yang dipersetujui dilaksanakan dengan berkesan.
  • Kedua-dua negara bertukar dua Surat Hasrat tentang keselamatan, peralihan tenaga dan kerjasama akademik antara Universiti Tokyo dan UIAM.
  • Perbincangan produktif merangkumi pertahanan, keselamatan maritim, industri strategik, kerjasama kewangan, pembangunan modal insan serta isu serantau termasuk Myanmar dan Indo-Pasifik.

MoC berkenaan meliputi keselamatan dan sekuriti maritim, alam sekitar dan kelestarian, pengurusan sisa pepejal serta rangka kerja kawal selia peranti perubatan.

Menurut Datuk Seri Anwar, tumpuan kini adalah memastikan setiap inisiatif yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kita telah memeterai empat MoC yang telah diumumkan dan saya fikir sudah tiba masanya untuk memastikan kita melaksanakannya,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di sini, hari ini.

Selain itu, kedua-dua negara turut bertukar dua Surat Hasrat (LOI) melibatkan bidang keselamatan, peralihan tenaga serta kerjasama akademik antara Universiti Tokyo dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar memaklumkan perbincangan sepanjang lawatan tersebut berlangsung dengan sangat produktif.

Jelas beliau, pelbagai perkara dibincangkan termasuk dalam bidang pertahanan, keselamatan maritim, industri strategik, kerjasama kewangan, pembangunan modal insan, peralihan tenaga serta isu serantau dan antarabangsa.

Menyentuh aspek pertahanan, Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia sebagai sebuah negara maritim komited memperluas hubungan dengan Jepun dalam bidang berkenaan.

“Jepun telah lama menjadi rakan yang dipercayai Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk menerusi inisiatif Bantuan Rasmi Keselamatan (OSA).

Kerjasama itu akan terus diperkukuh menerusi Memorandum Kerjasama mengenai keselamatan dan sekuriti maritim,” ujarnya lagi.

Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Jepun atas sokongan yang diberikan kepada Malaysia, khususnya ketika negara mempengerusikan ASEAN.

Kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di Myanmar serta usaha memperkukuh kerjasama dalam kerangka Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.