
JAKARTA, 27 Mac – Malaysia dan Indonesia sepakat mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik di Asia Barat yang kini memberi tekanan terhadap keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi global.
- Pertemuan Anwar-Prabowo buka ruang konstruktif mencari titik persamaan menangani situasi semasa.
- Menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau berprinsip bagi memelihara keamanan dan kestabilan ekonomi.
- Menekankan kepentingan memastikan rantaian bekalan global dan laluan perdagangan strategik termasuk Selat Hormuz tidak terganggu.
- Malaysia kekal menolak keganasan, menjunjung undang-undang antarabangsa dan menggesa jalan penyelesaian damai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hari ini membuka ruang konstruktif dalam mencari titik persamaan bagi mendepani situasi semasa.
Menurut beliau, kedua-dua negara menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau yang berprinsip bagi memelihara keamanan, menjamin kestabilan serta memperkukuh daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
“Kami sepakat untuk mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik, melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan,” katanya.
Tambah beliau, kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik termasuk Selat Hormuz perlu dipastikan tidak terjejas.
Perdana Menteri turut memaklumkan mengenai interaksi beliau bersama rakan-rakan pemimpin antarabangsa sebagai usaha menyatakan solidariti, menyelaras pandangan serta meneliti kesan global khususnya dalam aspek tenaga dan keselamatan serantau.
“Malaysia kekal dengan pendirian tegas, menolak keganasan, menjunjung undang-undang antarabangsa dan menggesa semua pihak kembali kepada jalan damai,” katanya.