
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Hospital Kuala Lumpur (HKL) meningkatkan kapasiti perkhidmatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) kepada 640 slot bagi tahun ini (2026), iaitu peningkatan sehingga 70 peratus berbanding 2025.
- Program HSOP dilaksanakan semula pada 25 Mac selepas peruntukan dana baharu diterima pada 19 Mac 2026.
- Jabatan Radiologi HKL beroperasi dengan dua mesin MRI di Blok Utama dan menerima rujukan kes daripada hospital kerajaan Lembah Klang.
- Kapasiti harian optimum 24 hingga 28 kes bergantung kepada kerumitan; pernah mencecah 36 kes untuk keutamaan kecemasan.
- Sepanjang 2025, penggunaan slot MRI 96.8% membantu memendekkan tempoh menunggu sebanyak 33% dari 24 minggu kepada 16 minggu.
HKL dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu turut menyaksikan pelaksanaan semula Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP)secara rasmi bermula 25 Mac lalu, selepas peruntukan dana baharu diterima pada 19 Mac 2026.
“Sebagai hospital rujukan terbesar negara, HKL bukan sahaja mengendalikan pesakit dalaman, malah menerima rujukan kes MRI daripada hospital kerajaan lain sekitar Lembah Klang.
“Ketika ini, Jabatan Radiologi HKL beroperasi menggunakan dua mesin MRI di Blok Utama dengan kapasiti optimum antara 24 hingga 28 kes sehari bergantung kepada tahap kerumitan kes,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, jumlah pemeriksaan harian pernah mencecah sehingga 36 kes, khususnya bagi memberi keutamaan kepada kes kecemasan dan kritikal yang memerlukan tindakan segera.
Bagi menangani kesesakan serta mengurangkan tempoh menunggu, Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan HSOP dengan mengoptimumkan penggunaan slot MRI sedia ada di HKL.
Sepanjang 2025, HKL berjaya menggunakan 96.8 peratus slot MRI diperuntukkan, iaitu 365 daripada 377 slot, sekali gus membantu mengurangkan tempoh menunggu pesakit sebanyak 33 peratus.
Tempoh menunggu berjaya dipendekkan daripada 24 minggu kepada 16 minggu, hasil pelaksanaan berterusan program berkenaan yang memberi fokus kepada kecekapan perkhidmatan.
Pada masa sama HKL turutu menegaskan bahawa program HSOP tidak terhenti, malah terus diperkasa bagi memastikan senarai menunggu pesakit dapat dikurangkan secara berperingkat dan lebih sistematik.
HKL dan Kementerian Kesihatan (KKM) kekal komited memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan terus efisien serta memenuhi piawaian penjagaan terbaik kepada rakyat Malaysia.