KUALA LUMPUR, 29 Januari- Malaysia dan Indonesia perlu memperkukuh kerjasama dalam penguatkuasaan peraturan alam sekitar serta meningkatkan kaedah pensijilan dan piawaian industri kelapa sawit di peringkat antarabangsa.
Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam UIAM, Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata langkah itu penting bagi memastikan kedua-dua negara kekal sebagai peneraju utama dalam industri minyak sawit dunia.
"Termasuklah Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dan juga Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO). Jadi, bila kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia bekerjasama dalam menambah baik standard piawaian ini dan dapat menghasilkan satu standard yang terbaik berdasarkan kepada amalan-amalan terbaik di antara kedua-dua negara.
Jadi, ini akan dapat dilihat sebagai menjuarai atau pun menerajui dalam membangunkan industri kelapa sawit yang mampan dan mesra alam," kata Dr. Muhammad Irwan kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, Malaysia dan Indonesia boleh meningkatkan lagi penglibatan pemegang taruh bagi mengekalkan imej kemampanan industri kelapa sawit.
Usaha bersama tersebut dapat memperkukuh kuasa tawar-menawar di peringkat global, terutama dalam menghadapi tekanan dan pengawasan ketat dari negara barat berkaitan standard kemampanan.
Baru-baru ini, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama bersama Malaysia dalam industri kelapa sawit sebagai sektor strategik yang perlu terus diperkasa.