BARCELONA, 27 Februari- Peneraju dunia dalam pemantauan rangkaian dan cerapan kesalinghubungan, Ookla, menyifatkan pencapaian Malaysia yang mengungguli Skor Ketekalan 5G global sebagai amat membanggakan serta sangat layak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ookla, Stephen Bye berkata, metodologi yang digunakan bagi mengira skor tersebut adalah sukar untuk dicapai, apatah lagi secara konsisten.
"Kami adalah sebuah badan bebas yang menilai kualiti rangkaian, kami mengukur rangkaian dalam pelbagai dimensi, salah satunya dari segi kelajuan, yang menyebabkan kami dikenali ramai ialah ujian kelajuan kami.
"Satu lagi metrik yang diambilkira ialah konsistensi. Malah, ia sebenarnya jauh lebih sukar untuk dicapai, rangkaian konsisten merentasi geografi yang luas dan khususnya di Malaysia. Membina rangkaian dengan prestasi konsisten adalah sangat mencabar.
"Jadi, ini bukan anugerah yang selalu diberikan dan dimenangi. Ini adalah satu kredit kepada Malaysia dan dasar-dasarnya yang membolehkan Malaysia mencapai anugerah ini", kata Stephen Bye.
Anugerah Skor Ketekalan 5G global terbaik disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ookla, Stephen Bye kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Barcelona, Sepanyol.
Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, anugerah tersebut merupakan satu pencapaian penting yang mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai satu pemain terkemuka dalam landskap digital global.
Malaysia kini berada di tempat pertama dalam skor terbabit pada tahap 97.27 peratus di hadapan Macedonia Utara (94.06 %) dan Emiriyah Arab Bersatu (93.88 %).
"Ini adalah kesinambungan kepada usaha kita dan satu kejayaan dalam pelaksanaan 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB)", katanya.
"Jadi kita harap dengan pencapaian ini membakar semangat bagi semua telco dan rakan-rakan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya kita bekerja lebih gigih, menyediakan internet yang lebih murah, pantas, yang boleh dipercayai, lebih diyakini, untuk semua rakyat Malaysia.
Fahmi kini berada di Barcelona bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mobile World Congress 2024.