fb fb fb fb fb

Malaysia-AS memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas

FOTO FB TENGKU ZAFRUL

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) memeterai secara rasmi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas hari ini.

Perjanjian itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump semasa pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyifatkan perjanjian berkenaan lebih baik daripada apa yang pernah diumumkan kerajaan sebelum ini.

Ia merupakan liberalisasi tarif yang lebih luas dan strategik, sekali gus membuka akses pasaran yang lebih besar dan belum pernah dicapai sebelumnya bagi pengeksport kedua-dua negara.

"Perjanjian ini mementerai secara rasmi apa yang telah pun dipersetujui sebelum ini. malah, AS telah menawarkan akses yang lebih baik dan lebih terjamin kepada pasaran mereka.

"Jadi, sebenarnya, apa yang dimenterai adalah lebih baik daripada apa yang telah diumumkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di luar Sidang Kemuncak Asean ke-47 di sini.

Tambah beliau, komitmen oleh Malaysia di bawah perjanjian ini akan diberi pertimbangan sewajarnya dalam keputusan AS berkenaan Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 mereka.

Menerusi perjanjian tersebut, AS akan mengekalkan tarif timbal balik sebanyak 19 peratus terhadap barangan Malaysia.

Bagaimanapun, beberapa produk tertentu menerima kadar tarif sifar peratus di bawah senarai rakan kongsi sejajar.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan Wisma Putra, Perdana Menteri dan Trump turut mengumumkan peningkatan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Ia mencerminkan kerjasama strategik dan pelbagai dimensi yang semakin berkembang antara Malaysia dan AS.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM