KUALA LUMPUR, 8 Julai -Lebih 10 pintu masuk baharu di sempadan Kalimantan, Sabah dan Sarawak akan dibuka susulan cadangan perpindahan ibu negara baharu Indonesia ke Kalimantan Timur.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, persetujuan telah dicapai antara Malaysia dan Indonesia serta peruntukan sebanyak RM1 bilion disediakan sebagai langkah awal mempersiapkan pembukaan pintu sempadan yang dikenal pasti.
"Sekarang kita tinggal menyelesaikan sedikit sahaja dengan pihak Indonesia dari segi memuktamadkan formalitinya. Kita semuanya sedang menjurus ke arah itu.
"Penting untuk diingatkan di sempadan itu panjang, melebihi 300 kilometer dan aksesnya tiga sahaja, iaitu satu jalan darat, dua jalan sungai dan tiga jalan udara.
"Pembukaan pintu masuk baharu ini akan memberikan gambaran masa depan bahawa ‘people mobility’ dan juga ‘trickle down benefits’ akan berlaku," katanya.
Datuk Seri Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas program INTAN Minister Conversation (IMC) 2025 bertemakan "Negara Kita, Keselamatan Tanggungjawab Bersama" di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara, di sini.
Pembukaan pintu masuk itu hanya akan bermula selepas perjanjian persefahaman dimuktamadkan.
Kementerian serta agensi berkaitan akan memainkan peranan masing-masing termasuk pembinaan infrastruktur asas seperti jalan masuk dan pencawang komunikasi.