fb fb fb fb fb

Makmal analisis mineral pertama negara dibina di Perak

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) melancarkan Majlis Perasmian Terra Mineral Lab (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (Centre Of Excellence For Mineral Research) di Pejabat Terra Mineral Lab Sdn Bhd di Gopeng/ BERNAMA

GOPENG, 3 Oktober- Penubuhan makmal analisis mineral, Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) di sini, bakal memacu revolusi mineral negara.
 
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penubuhan makmal yang menelan belanja RM12 juta itu bukti komitmen kerajaan untuk memajukan industri mineral, khususnya bidang perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Ia dilengkapi teknologi bertaraf dunia, TML berupaya menganalisis, mengenal pasti dan menentusahkan kandungan mineral dengan ketepatan tinggi.

"Kini TML sedang dalam proses mendapatkan akreditasi MS ISO/IEC 127025 daripada Jabatan Standard Malaysia sebagai langkah pertama yang akan mengiktirafnya sebagai makmal komersial utama negara dalam analisis mineral .

"TML dikendalikan oleh 15 orang pakar tempatan muda termasuk ahli kimia kanan, ahli kimia dan penolong ahli kimia merupakan hasil daripada program kerjaya yang dianjurkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian makmal analisis mineral, Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) di sini.

Selari dengan TML, penubuhan CoE sebahagian daripada strategi memperkasa agenda Perlombongan Bertanggungjawab.
 
Ia dilaksanakan dengan kerjasama strategik Institut Darul Ridzuan (IDR) dan institut penyelidikan terkemuka seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
 
Kewujudan TML dan CoE di Perak bakal menyaksikan lonjakan besar dalam sektor mineral sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI