
SERI KEMBANGAN, 25 Ogos – Skuad kriket kebangsaan yakin mampu mencipta kejutan pada Sukan Asia Nagoya 2026 dengan sasaran sekurang-kurangnya mara ke suku akhir, meskipun bakal berdepan kuasa besar seperti India, Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh dan Afghanistan.
- Syaidatul Afifah optimis; rekod Malaysia (tempat keenam, kelapan, kelompok 10 terbaik) buktikan kemampuan cipta kejutan.
- Persiapan positif menerusi persahabatan lawan Nepal dan tiga perlawanan menentang UAE untuk sedia tekanan bertaraf Sukan Asia.
- Whatmore dan kapten Syed Aziz yakin; status underdog jadi motivasi untuk ulangi prestasi hampir ke separuh akhir dulu.
Keyakinan itu disuarakan Timbalan Chef de Mission Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi selepas perjumpaan bersama Ketua Jurulatih Kriket Kebangsaan, Dav Whatmore dan kapten pasukan, Syed Aziz Syed Mubarak pada Selasa.
Syaidatul Afifah berkata, status Malaysia sebagai pasukan bukan pilihan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pemain untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan gergasi Asia.
Beliau berkata, pencapaian Malaysia sebelum ini, termasuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik serta pernah berada di tempat keenam dan kelapan, membuktikan skuad negara mempunyai kemampuan untuk mencipta kejutan.
“Apa sahaja boleh berlaku. Walaupun terdapat pasukan dari India dan Pakistan, kita sebelum ini pernah mencatat keputusan dalam kelompok 10 terbaik, termasuk tempat keenam dan kelapan.
“Tahun ini, jika kita memberikan aksi terbaik dan berusaha habis-habisan, insya-Allah kita mampu memperbaiki pencapaian tersebut,” katanya selepas sesi lawatan ke venue latihan kriket di STC Ground, Seri Kembangan, di sini.
Menurut beliau, persiapan skuad negara kini berada pada landasan positif, termasuk aksi persahabatan menentang Nepal yang disifatkan sebagai pendedahan penting berdepan pasukan berkualiti.
Barisan pemain juga menunjukkan keyakinan tinggi untuk memberikan aksi terbaik di Jepun.

Dalam pada itu, Whatmore yakin Malaysia mampu mara ke suku akhir, namun mengakui cabaran akan menjadi jauh lebih sukar selepas itu sekiranya berdepan pasukan kuasa besar.
“Untuk Sukan Asia, kami sangat yakin mampu mara ke peringkat suku akhir. Sudah tentu, kami perlu beraksi dengan baik, namun saya cukup yakin dengan kemampuan pasukan.
“Saingan menjadi lebih sengit kerana kami akan berdepan lima pasukan gergasi Asia, iaitu India, Sri Lanka, Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan,” katanya.
Whatmore berkata, persiapan pasukan turut merangkumi tiga perlawanan antarabangsa menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas kejohanan The ACC Men’s Premier Cup 2026.
Menurutnya, perlawanan berkenaan penting kerana UAE berada di rangking lebih tinggi berbanding Malaysia dan mampu memberikan tekanan yang hampir sama dengan apa yang bakal dihadapi pada Sukan Asia.
Beliau turut mengakui sasaran peribadinya adalah untuk melihat Malaysia memenangi pingat, walaupun menyedari tugas itu bukan mudah.
“Sudah tentu saya mahukan pingat, walaupun agak sukar. Selain daripada itu, saya mahu melihat siapa dalam kumpulan ini yang mampu mengatasi tekanan pada tahap lebih tinggi dan memberikan persembahan terbaik.
“Semua perlawanan ini akan dimainkan bawah tekanan. Jadi saya sangat berminat melihat siapa yang mampu mengendalikannya dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Syed Aziz berkata, skuad negara kini berada dalam keadaan baik selepas mendapat pendedahan menentang pasukan Bangladesh Bawah 20 tahun dan pasukan High Performance mereka.
Katanya, perlawanan menentang UAE dalam format T20 juga amat penting kerana format itu bakal digunakan pada Sukan Asia.
“Kami sudah melakukan persiapan rapi dan mahu meneruskan momentum itu menjelang Sukan Asia.
Saya lihat pasukan kini berada dalam keadaan baik, dengan semua pemain semakin menemui rentak permainan seperti yang diharapkan.
“Jadi, saya yakin kami kini berada pada landasan yang baik untuk menghadapi Sukan Asia,” katanya.
Syed Aziz turut menganggap status Malaysia sebagai ‘underdog‘ sebagai satu motivasi untuk mencipta sejarah di Nagoya.
Katanya, rantau Asia merupakan antara cabaran paling sukar dalam kriket dan Malaysia sudah lama bersaing dalam kelompok tersebut.
“Sukan Asia adalah kejohanan yang sangat besar dan berprestij. Datang sebagai ‘underdog’ adalah satu cerita yang baik untuk kami.
“Kalau kami berjaya sampai ke peringkat tertinggi, saya rasa ia akan menjadi cerita yang sangat baik untuk dikongsi dengan cucu-cucu kami,” tambah beliau lagi.
Mengulas sasaran mara ke suku akhir, Syed Aziz yakin ia mampu dicapai berdasarkan pencapaian Malaysia pada Sukan Asia sebelum ini.
Katanya, skuad negara ketika itu hampir melangkah ke separuh akhir selepas tewas hanya dengan perbezaan satu larian kepada Bangladesh.
“Saya rasa ia memang boleh dicapai kerana kali terakhir kami bermain di Sukan Asia, kami berjaya mara ke suku akhir dan hampir ke separuh akhir dengan hanya satu larian menentang salah satu pasukan negara Test yang kuat, Bangladesh.
“Kami mahu mengulanginya dan melakukan sesuatu yang lebih baik pada Sukan Asia kali ini,” tegasnya.