
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Tiga pasukan berstatus ProTeam dari Sepanyol sedia mencabar saingan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) edisi ke-30 yang bakal berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober depan.
- Perlumbaan akan menyaksikan dua pendakian Hors di Cameron Highlands dan Genting Highlands serta Kategori 1 di Gunung Jerai.
- Pengalaman pelumba Sepanyol yang beraksi di Vuelta, Tour de France dan ProSeries dijangka memberi kelebihan.
- Equipo Kern Pharma tampil dengan barisan utama berpengalaman, manakala bekas juara LTdL22 Ivan Ramiro Sosa berada dalam pasukan sebagai simpanan.
- Burgos dan Caja Rural bawa pelumba berprestasi; termasuk Gallego, Aparicio, Abel Balderstone dan pecut Iuri Leitao dengan tujuh kemenangan.
Ia melibatkan pasukan Equipo Kern Pharma, Burgos Burpellet-BH dan Caja Rural Seguros-RGA, yang mempunyai pengalaman beraksi pada edisi terdahulu.
Menurut kenyataan Sekretariat Le Tour de Langkawi 2026, ketiga-tiga pasukan itu dijangka memberikan saingan sengit dalam perlumbaan yang akan menyaksikan dua pendakian berstatus Hors (zon pendakian sukar dan ekstrem) di Cameron Highlands dan Genting Highlands, selain pendakian Kategori 1 di Gunung Jerai.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, pengalaman sebahagian pelumba Sepanyol yang beraksi dalam Vuelta a Espana, Tour de France dan perlumbaan ProSeries di Eropah dan Asia sejak beberapa bulan lalu dijangka memberi kelebihan kepada mereka.
Pasukan Equipo Kern Pharma menyenaraikan 12 pelumba termasuk enam pelumba simpanan, dengan barisan utama diketuai Marc Brustenga Masague, Pablo Carascosa Miller, Ivan Cobo Cayon, Inigo Elosegui Momene, Nil Gimenez Ferrer dan Jorge Gutierrez Gonzalez.
Enam pelumba simpanannya pula termasuk juara LTdL22, Ivan Ramiro Sosa, manakala Carascosa, Cobo, Elosegui dan Gutierrez dijangka menjadi antara sandaran utama pasukan itu bagi cabaran pendakian dan perebutan jersi pendahulu keseluruhan.
Pasukan tersebut turut tampil dengan reputasi kukuh selepas muncul juara berpasukan keseluruhan LTdL24 yang lalu.
Pasukan Burgos Burpellet-BH pula dibarisi enam pelumba dengan tiga daripadanya, Jose Manuel Diaz Gallego, Mario Aparicio dan Jose Luiz Faura, turut beraksi pada Vuelta a Espana, tahun ini.
Gallego, 31, pernah menduduki tempat keenam keseluruhan LTdL24, manakala Aparicio, 26, muncul Raja Bukit pada edisi sama.
Sementara itu, pasukan Caja Rural Seguros-RGA pula diketuai Abel Balderstone yang turut beraksi pada Tour de France tahun ini, selain Nil Aguilera dan Julen Arriolabengoa.
Caja Rural Seguros-RGA turut mempertaruhkan pakar pecut kelahiran Portugal, Iuri Leitao yang memiliki tujuh kemenangan dalam karier profesionalnya.
Edisi ke-30 LTdL26 membabitkan lapan peringkat sejauh 1,285.5 kilometer dan dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).