
SHAH ALAM, 25 Ogos – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan syabas dan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
- Kontinjen melebihi sasaran dengan 101 pingat emas, pencapaian tertinggi dalam sejarah SUKMA sejak 1986.
- Baginda bangga dengan kesungguhan, disiplin dan semangat juang atlet yang mengumpul 245 pingat keseluruhan.
- Baginda menasihat pemenang perak dan gangsa supaya terus berusaha, serta menegaskan SUKMA memupuk perpaduan dan semangat kesukanan.
Baginda menzahirkan rasa amat gembira dan sukacita atas pencapaian luar biasa kontinjen Selangor selaku tuan rumah yang berjaya meraih 101 pingat emas, sekali gus mengatasi sasaran awal 80 pingat emas.
Lebih membanggakan, pungutan pingat emas itu adalah yang tertinggi dalam sejarah penganjuran SUKMA sejak 1986.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa amat bangga dan terharu menyaksikan kesungguhan, disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan atlet negeri itu sehingga berjaya mendominasi pelbagai acara dan mengumpul 245 butir pingat keseluruhan.
“Kepada atlet Selangor yang berjaya memenangi pingat emas, tahniah beta ucapkan. Kepada pemenang pingat perak dan gangsa, jangan sesekali berputus asa.
“Teruskan berusaha dan tingkatkan prestasi agar mampu tampil lebih cemerlang pada masa hadapan, sekali gus mengharumkan nama Selangor dalam arena sukan di peringkat negara mahupun antarabangsa,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office.
Sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung, Sultan Sharafuddin mengikuti perkembangan dan pencapaian atlet Selangor dalam pelbagai acara yang ditandingi.
“Sebahagian daripada acara berkenaan turut dihadiri oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan berangkat bagi memberikan sokongan dan suntikan semangat kepada atlet yang bertanding,” titah baginda.
Baginda turut berharap, kejohanan sukan seperti SUKMA terus menjadi antara wadah terpenting dalam memupuk semangat kesukanan, mengeratkan persaudaraan serta memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.
“Sesungguhnya kejayaan dalam sukan bukan sekadar diukur melalui pingat dan kejuaraan, tetapi turut terpancar melalui semangat kebersamaan yang mampu menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang. Sukan menyatukan kita semua!,” titah baginda.
Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA 2026, iaitu kali ke-10 selepas mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, mengatasi Wilayah Persekutuan di tempat kedua dan Terengganu, ketiga.