fb fb fb fb fb

Majoriti kesan AEFI tidak serius

TAIPING, 5 Ogos- Kementerian Kesihatan (KKM) hanya menerima 31 laporan kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) bagi kanak-kanak di negara ini yang diklasifikasikan sebagai serius, setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata jumlah itu diperoleh daripada keseluruhan 1.76 juta atau 49.8 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Jelas beliau, majoriti kes AEFI yang dilaporkan adalah kes tidak serius seperti demam, sakit otot dan lenguh di tempat suntikan yang sering berlaku selepas vaksinasi.

"31 kes yang serius ini masuk hospital dan telah dirawat dan balik, manakala yang majoriti itu adalah yang ringan jadi kita tidak perlu bimbang.

"Itu saya nak nyatakan hari ini vaksin yang kita guna adalah sangat selamat malah kita patut bagi anak kita vaksinasi supaya melindungi daripada jangkitan kuman ini dan keterukan penyakit COVID-19," katanya.

(Datuk Dr Noor Azmi Ghazali)

Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak, di sini hari ini.

Tambah Noor Azmi, Sarawak mendahului kadar penerimaan vaksinasi kanak-kanak tertinggi dengan merekodkan 99 peratus manakala Kelantan, Terengganu masih rendah iaitu bawah 20 peratus.

Media Baharu