
KUALA LUMPUR, 8 September – Majlis Perundingan Ummah akan diwujudkan sebagai wadah memperkukuh penyatuan umat Islam, khususnya dalam mengurus perbezaan politik dan pandangan demi kepentingan ummah.
- Penubuhan majlis mendapat kelulusan sebagai platform menghimpun pemikiran dan pandangan ilmuwan Islam untuk kepentingan ummah.
- Menghidupkan semula Majlis Perundingan Islam bagi mengurus perbezaan pandangan secara matang dan menghasilkan keputusan bermanfaat.
- Menjana lebih ramai ilmuwan yang menjadi suara dan kekuatan membina ummah serta memupuk kerjasama berterusan antara institusi dan kelompok Islam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan majlis berkenaan telah mendapat kelulusan dan diharap menjadi platform yang menghimpunkan pelbagai pemikiran serta pandangan ilmuwan Islam.
“Semoga dapatan ini, insya-Allah, akan kita bentangkan dalam Majlis Perundingan Ummah yang akan diadakan kemudian.
“Insya-Allah, perkara ini akan kita sepakati bersama-sama. Alhamdulillah, menteri-menteri juga telah meluluskan penubuhan Majlis Perundingan Ummah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup secara rasmi Muttaqah Ilmuwan Islam Malaysia 2.0, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata usaha itu bukan perkara baharu kerana sebelum ini pernah diwujudkan Majlis Perundingan Islam ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada penggal terdahulu.
Menurutnya, pendekatan berkenaan perlu dihidupkan semula bagi memastikan perbezaan pandangan dalam kalangan umat Islam dapat diurus secara matang dan menghasilkan keputusan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, Majlis Perundingan Ummah juga diharap dapat melahirkan lebih ramai ilmuwan yang bukan sekadar menjadi suara kepada umat Islam, tetapi berperanan sebagai kekuatan yang membina ummah.
“Mudah-mudahan daripada Majlis Perundingan Ummah itu terhasil daripada Muttaqah ini, insya-Allah akan lahir lebih ramai para ilmuwan yang bukan sekadar menjadi suara ummah, tetapi menjadi kekuatan yang membina ummah,” katanya lagi.
Beliau turut berharap platform berkenaan menjadi titik permulaan kepada kerjasama lebih erat antara pelbagai kelompok dan institusi Islam.
Katanya, pertemuan yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu pentas tidak seharusnya menjadi acara sekali sahaja, sebaliknya perlu diteruskan bagi mencari titik persamaan dan menghasilkan natijah terbaik untuk ummah.
“Mudah-mudahan ini bukan majlis kali pertama dan terakhir untuk kedua-dua dewan dan majlis ulama untuk berada di satu pentas… Mudah-mudahan akan ada natijah yang terbaik dalam muttaqah ini,” ujar beliau.