
KUALA LUMPUR, 26 Januari – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan peruntukan berjumlah RM197 juta bagi kluster pendidikan pada tahun ini, meningkat berbanding RM120 juta yang disalurkan pada tahun sebelumnya.
- MAIWP memperuntuk RM197 juta untuk kluster pendidikan tahun ini, meningkat berbanding tahun sebelumnya.
- Peruntukan disalurkan melalui pelbagai skim sokongan termasuk biasiswa penuh dan bantuan sekali beri.
- Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas menyalurkan lebih RM6.7 juta kepada 169 pelajar cemerlang asnaf.
- Bantuan merangkumi yuran, sara hidup, keperluan pembelajaran dan tiket penerbangan untuk pengajian di luar negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, dana berkenaan disalurkan menerusi pelbagai skim sokongan pendidikan.
Ini termasuk pembiayaan biasiswa penuh serta bantuan sekali beri kepada pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi, sama ada di dalam atau luar negara, khususnya melibatkan golongan asnaf dan fakir miskin.
“Bantuan ini merupakan antara inisiatif dan usaha paling signifikan serta strategik kerana kita membantu anak-anak ini mendapatkan pendidikan, seterusnya melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah dan sebagainya. Akhirnya, mereka berpeluang menjadi golongan profesional atau usahawan yang cemerlang.
“Saya mengucapkan tahniah kepada MAIWP kerana berjaya melaksanakan program yang sangat bermakna ini,” katanya selepas majlis penyerahan biasiswa pelajar cemerlang MAIWP di Menara MAIWP di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan, bagi Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang pula, lebih RM6.7 juta disalurkan bagi membantu 169 orang mahasiswa dan pelajar sekolah sebagai usaha memperkasa pendidikan dalam kalangan golongan asnaf.
Bantuan disediakan merangkumi pembiayaan yuran pengajian, perbelanjaan makan minum serta keperluan pembelajaran, termasuk pembiayaan penuh dan tiket penerbangan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara.
Tambahnya, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan MAIWP dalam memanfaatkan hasil kutipan zakat bagi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi kesejahteraan ummah.