KOTA BHARU, 30 April – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mempertimbangkan bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada 31 mangsa kebakaran di Kampung Kijang pada Isnin lalu.
Yang Dipertua MAIK merangkap Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, beberapa bentuk bantuan sedang diteliti termasuk pembaikan rumah, bantuan persekolahan serta sokongan dari segi punca pendapatan kepada mereka yang layak.
Beliau berkata, MAIK sememangnya mempunyai skim bantuan khas untuk mangsa bencana dan akan menyalurkannya berdasarkan kelayakan.
“MAIK juga akan mempertimbangkan bantuan bayaran sewa rumah sementara, sebelum rumah mangsa yang terjejas siap dibaik pulih,” katanya demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan bersama pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam berkata, kebanyakan mangsa tidak mahu berpindah ke tempat lain dan memilih untuk terus menetap di kawasan asal mereka walaupun rumah musnah dalam kejadian tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa mereka memerlukan bantuan untuk membina semula kediaman yang terjejas, dan pihak MAIK bersedia mempertimbangkan pemberian bantuan bayaran sewa rumah sementara sehingga proses pembinaan semula rumah siap sepenuhnya.
Setakat ini, MAIK sedang mengumpul maklumat berkaitan semua mangsa dan menjangkakan laporan penuh dapat diterima selewat-lewatnya Jumaat ini sebelum sebarang bentuk bantuan diagihkan.
Terdahulu, media melaporkan seramai 31 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas lapan buah rumah yang didiami mereka di Kampung Kijang musnah dalam kebakaran.
Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Bomba Mohd Farid Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.40 petang, Isnin lalu.