ALOR SETAR, 26 Julai - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) membuat persediaan cepat dan segera merangka pelan jangka masa panjang bagi memastikan bekalan beras negara mencukupi dan tidak bergantung kepada eksport.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin negara dapat mencapai 80 peratus pengeluaran domestik setelah membangunkan infrastruktur dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi di negara ini.
Mengulas tindakan India menyekat eksport beras putih, beliau berharap Thailand dan Vietnam masih mengeksport makanan ruji rakyat Malaysia itu.
"Belum diumumkan dia kata dia akan kurangkan kalau betul dia dia beri kesan, sebab padi ini tak macam nak buka kawasan baru, pengairan diambil kira, kita beri RM3 bilion untuk tambah infrastruktur air dapat dikawal sebaiknya hasil dapat dipertingkatkan apabila lima musim dua tahun ia dapat menambah bilangan tan atau hasilnya pada masa akan datang," kata Mohamad Sabu, di sini.
Kerajaan kini berusaha untuk meningkatkan pemahaman termasuk pesawah bagi melaksanakan kaedah penanaman padi lima musim, dua tahun.
Turut dilaksanakan Program Smart SSB Mini Sekinchan MADA-Bernas yang dijangka dapat melonjakkan pendapatan pesawah disamping meningkatkan pembangunan industri padi negara pada tahap lebih baik.
Program tersebut dilaksanakan di dua lokasi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) iaitu Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Perlis dan Kampung Tok Mengkula, Ayer Hitam, Kedah melibatkan kawasan seluas 187 hektar dan dijangka dituai penghujung Ogos ini.
(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu
bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan
dan Bantuan Khas kepada pesawah MADA di PPK MADA C-III Tajar)
Lebih RM2.96 juta yang diperuntukkan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi telah disalurkan kepada 1,757 pesawah MADA yang terjejas akibat bencana banjir pada Julai tahun lalu.
Kejadian banjir tersebut menyebabkan kerosakan seluas 2,311 hektar tanaman padi bagi Musim 1/2022 di Wilayah II Pendang.
Selain peruntukan tersebut, 44,481 pesawah MADA juga telah menerima sejumlah RM26.68 juta Bantuan Khas Pesawah Pesawah MADA yang telah dimasukkan ke akaun masing-masing.