fb fb fb fb fb

MA63: Tuntutan 40 peratus hasil Sabah dijangka dimuktamad sebelum 16 Sept

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Menara Kinabalu hari ini/Foto Facebook Fadillah Yusof

KOTA KINABALU, 14 Julai – Cadangan penyelesaian berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih daripada Persekutuan kepada Sabah dijangka dimuktamadkan sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beberapa cadangan penyelesaian yang telah dibincangkan bersama Kerajaan Negeri Sabah akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pembentangan itu penting sebagai persediaan sebelum Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) pada 12 September ini di Kuala Lumpur, yang bakal menentukan hala tuju penyelesaian isu berkenaan.

“Di situ nanti kita akan putuskan apa penyelesaiannya sama ada interim atau bagaimana, kerana kita juga mengambil kira ada kes (mahkamah) sedang berjalan sekarang ini (berhubung tuntutan 40 peratus) yang dibawa oleh Majlis Peguam Sabah.

“Dari segi perundangan, ada juga perkara yang mengekang untuk kita membuat penyelesaian tanpa keputusan daripada mahkamah. Tetapi apa yang kita nak cari ialah penyelesaian di luar bidang kuasa mahkamah,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 di Menara Kinabalu hari ini.

Fadillah yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata antara yang diteliti dalam tuntutan Sabah termasuk isu berkaitan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat berkenaan turut disertai Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan serta beberapa pemimpin negeri.

Sementara itu, Jeffrey mencadangkan agar satu bentuk penyelesaian sementara dapat dilaksanakan sementara menunggu keputusan muktamad dicapai.

“Sementara menunggu penyelesaian utama dimuktamadkan, kita boleh laksanakan terlebih dahulu penyelesaian sementara tanpa prejudis (menjejaskan) tuntutan asal.

“Cadangan ini melibatkan perkara yang telah dipersetujui bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, dan kita minta agar ia dilaksanakan dahulu,” katanya.

Untuk rekod, semakan terhadap kadar Pemberian Khas telah dilaksanakan bagi tahun 2022 dan 2023, dengan amaun interim ditingkatkan daripada RM125.6 juta (2022) kepada RM300 juta (2023).

Terbaharu, jumlah ini dinaikkan kepada RM600 juta untuk tempoh lima tahun sehingga 2029.

GRACE AISYAH KEDAYAN