fb fb fb fb fb

LRA Sungai Limau tersumbat, 15,000 akaun terjejas bekalan air

Keadaan "sump" muka sauk LRA Sungai Limau yang tersumbat akibat dipenuhi pasir dan selut

BALING, 16 Oktober- Gangguan bekalan air yang menjejaskan 15,000 akaun pengguna di daerah sini di Kedah sejak semalam berpunca daripada "sump" muka sauk (intake) Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau yang tersumbat akibat dipenuhi pasir dan selut.

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) berkata kejadian itu telah menghalang sistem pengepaman air mentah untuk diproses menjadi air bersih disebabkan banjir berlumpur yang melanda beberapa kawasan di daerah itu sejak beberapa hari lalu.

SADA memaklumkan pihaknya sedang giat membersihkan muka sauk LRA Sungai Limau bagi memulihkan bekalan air dan tempoh pemulihan bekalan air dijangka mengambil masa lapan hingga 72 jam.

Operasi LRA Sungai Limau kini beroperasi pada 70 peratus kapasiti sebelum gangguan berlaku dan kerja-kerja pembersihan muka sauk dijangka selesai lewat malam ini.

Semalam, SADA melaporkan gangguan bermula sekitar pukul 7.00 pagi akibat henti tugas operasi LRA Sungai Limau disebabkan kadar aliran air mentah yang tinggi dan muka sauk tersumbat.

Antara kawasan terjejas termasuk enam kampung di R-1 Pak Bong, 32 kampung dan taman perumahan di R-4 Taman Saga, 21 kampung di R-7 Kuala Pegang, tiga kampung di R-8 Relau dan dua kampung di R-11 Rambong.

1610 BANJIR LRA BALING PENUH SELUT
FOTO KOMUNIKASI KORPORAT SADA

SITI AISHAH MD ISA