PRN N. Sembilan: SPR optimis keluar undi awal cecah 90 peratus

Datuk Seri Ramlan Harun bercakap pada sidang media selepas meninjau Pusat Pengundian Awal di IPD Port Dickson hari ini/RTM

SEREMBAN, 28 Julai- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) optimis peratusan keluar mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan mampu melepasi 90 peratus menjelang tamat tempoh pengundian petang ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 16,467 pengundi awal mengundi secara fizikal, termasuk 11,293 anggota ATM dan pasangan serta 5,174 anggota PDRM, PGA dan pasangan.
  • Sebanyak 5,872 pengundi pos mengundi awal, melibatkan 5,591 anggota tentera dan 281 anggota polis.
  • Kadar keluar mengundi awal dilaporkan 80.79 peratus setakat 1.00 tengah hari.

Pengerusi SPR Negeri Sembilan, Mohd Nazri Ismail berkata sebanyak 70 saluran dibuka melibatkan 16,467 pengundi awal yang mengundi secara fizikal terdiri daripada 11,293 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan serta 5,174 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan.

Selain itu, seramai 5,872 pengundi pos telah mengundi lebih awal mengikut kaedah yang ditetapkan, melibatkan 5,591 anggota tentera dan 281 anggota polis.

Beliau berkata, sasaran 100 peratus keluar mengundi sukar dicapai berikutan beberapa faktor termasuk perubahan status pasangan dalam kalangan anggota yang layak mengundi.

“Insya-Allah sehingga petang nanti kita menjangkakan kadar keluar mengundi ini boleh mencapai sehingga 90 peratus keseluruhannya,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hari ini.

Sementara itu, setakat pukul 1.00 tengah hari, sebanyak 80.79 peratus pengundi awal bagi PRN Negeri Sembilan telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Berdasarkan data terkini yang dikongsikan menerusi Facebook rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah itu melibatkan 8,894 anggota tentera dan 4,409 polis serta pasangan.

Sebanyak 38 pusat mengundi awal dibuka bermula 8.00 pagi ini dan ditutup secara berperingkat, melibatkan 17 pusat pada 12.00 tengah hari, tiga pusat pada 2.00 petang dan baki 18 pusat pada 5.00 petang.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari mengundi bagi 889,490 juta pemilih ditetapkan Sabtu ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.