PRN N. Sembilan: SPR sasar kadar keluar mengundi capai 75 peratus

Datuk Seri Ramlan Harun bercakap pada sidang media selepas meninjau Pusat Pengundian Awal di IPD Port Dickson hari ini/ Bernama

PORT DICKSON, 28 Julai- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi mencapai antara 72 dan 75 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, pada Sabtu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPR mensasarkan sekurang‑kurangnya 90 peratus daripada 16,467 pengundi awal anggota tentera, polis dan pasangan mereka keluar mengundi.
  • Kadar keluar mengundi awal direkodkan 34.26 peratus setakat pukul 10.00 pagi.
  • SPR menerima 206 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya melibatkan bahan kempen setakat ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata sasaran itu berdasarkan suasana kempen serta sambutan menggalakkan daripada pengundi di seluruh negeri yang dijangka mendorong lebih ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

“Untuk Sabtu ini, berdasarkan kepada suasana berkempen yang sengit di Negeri Sembilan ini, kita percaya penyokong akan ramai keluar mengundi.

“Insya-Allah, kita sama-sama doa dan berharap supaya semua pengundi dapat keluar mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan tertib,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ramlan berkata SPR menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada 16,467 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan mereka keluar mengundi hari ini.

Setakat 10.00 pagi, kadar keluar mengundi awal direkodkan sebanyak 34.26 peratus.

Beliau berkata jumlah pengundi awal yang layak mengundi berubah daripada 22,339 kepada 16,467 berikutan sebahagian pengundi sebelum ini memohon untuk mengundi awal telah bertukar kepada kaedah pengundian secara pos.

Beliau berkata SPR tidak menyasarkan kadar keluar mengundi 100 peratus kerana terdapat beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan termasuk perubahan status pasangan dalam kalangan anggota keselamatan itu.

Sementara itu, Datuk Seri Ramlan berkata pihaknya menerima 206 aduan berkaitan kesalahan pilihan raya membabitkan bahan kempen setakat ini.

Kesemua 38 pusat mengundi awal dibuka serentak pada 8.00 pagi dan akan ditutup berperingkat mengikut lokasi, dengan 18 pusat ditutup pada 12.00 tengah hari, dua pusat pada 2.00 petang, manakala baki 18 pusat ditutup pada 5.00 petang.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari mengundi bagi 867,151 pemilih ditetapkan Sabtu ini. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.