KKM jamin stok ubat hospital awam cukup tiga bulan

Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa setiap hospital dan klinik awam di bawah seliaannya disyaratkan mempunyai simpanan stok dalaman (internal buffer stock) sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan bagi memastikannya tidak terjejas.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM memantau rapi rantaian bekalan ubat di peringkat tempatan dan antarabangsa, khususnya ketika ketidakstabilan geopolitik.
  • KKM bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal dan pembekal untuk memantau pegangan stok mengikut tahap risiko; hospital sediakan ubat gantian.
  • Jika berlaku bekalan kritikal, tindakan percepatan perolehan akan dilaksanakan segera bagi memastikan perkhidmatan perubatan terjamin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, KKM sentiasa memantau rapi rantaian bekalan ubat-ubatan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, terutamanya ketika berdepan ketidaktentuan situasi geopolitik global.

Beliau berkata, KKM bekerjasama rapat dengan syarikat farmaseutikal serta pihak pembekal bagi memantau pegangan stok mengikut tahap risiko rantaian bekalan.

“Bagi ubat kategori berisiko rendah, pembekal mempunyai pegangan stok melebihi tiga bulan, manakala kategori risiko sederhana sekitar dua bulan dan risiko tinggi sekurang-kurangnya satu bulan.

“Sekiranya berlaku gangguan bekalan bagi sesuatu jenama, pihak hospital akan menyediakan ubat gantian daripada jenama lain yang mempunyai formulasi serta fungsi terapi yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Baharuddin Ahmad mengenai aspek keterjaminan bekalan ubat-ubatan di fasiliti kesihatan awam dalam sesi Dewan Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Hanifah menegaskan sekiranya berlaku situasi bekalan kritikal, tindakan percepatan perolehan (expedited procurement) akan segera dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan perubatan dan rawatan kepada rakyat sentiasa terjamin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.