fb fb fb fb fb

Lima lagi badan pensijilan halal luar negara diiktiraf

KPDN telah menambah senarai badan pensijilan halal luar negara / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Oktober– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menambah senarai badan pensijilan halal luar negara, selaras pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, JAKIM telah mengiktiraf tambahan lima badan pensijilan halal luar negara pada tahun 2024, masing-masing satu dari Brazil, Mongolia dan Uruguay, manakala dua lagi dari Rusia.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM adalah 88 pihak berkuasa merangkumi 49 buah negara di seluruh dunia.

"Pindaan Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 telah diwartakan pada 4 Oktober 2024 dan mula berkuat kuasa pada 5 Oktober 2024.

"Berdasarkan statistik penguatkuasaan kes berkaitan halal dari 1 Januari 2024 hingga 30 September 2024, sebanyak 53 kes telah direkodkan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM1.81 juta," katanya menerusi kenyataan.

Menurut Armizan, antara kesalahan dilakukan termasuk penggunaan logo halal palsu dan tidak menggunakan perakuan halal daripada pihak berkuasa berwibawa.

KPDN akan mengambil tindakan tegas termasuk denda sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pihak yang terlibat.

"Bagi syarikat, denda tidak melebihi RM200,000. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM500,000.

"Bagi individu, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali," menurutnya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM